Wednesday 22 April 2015

Sejarah PSS@SMK Keningau II

SEJARAH PENUBUHAN PUSAT SUMBER
SMK KENINGAU II

Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II, mula beroperasi pada 6hb Januari 1997. Sekolah yang dibina di atas tapak seluas 25 ekar ini terletak berhampiran Kampung Luagan di dalam mukim Keningau. Pengambilan pertama adalah untuk Tingkatan Satu (12 buah kelas) dan Tingkatan 4 (3 buah kelas) dengan bilangan pelajar keseluruhannya lebih kurang 550 orang. Pelajar pengasas sekolah ini terdiri daripada para pelajar sekolah menengah di sekitar Daerah Keningau. Mereka ditempatkan di sekolah ini kerana sekolah asal tidak dapat menampung mereka ekoran pertambahan pelajar yang di luar jangkaan.
Encik Sahumin Hj. Daud adalah Pengetua yang pertama di sekolah ini. Beliau dibantu oleh Puan Jaharah Jaafar sebagai Penolong Kanan dan Encik Sailin Sarabini sebagai Penolong Kanan HEM. Mereka dibantu oleh dua orang staf sokongan dan 12 orang guru. Dengan jumlah staf seramai 15 orang, segalanya cuba dilakukan sesempurna mungkin. En. Sahamin Rasimun dilantik sebagai penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Penggunaan Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II agak terhad pada waktu itu.
Pada 16hb Mac 1998, Encik Joanes B. Onson telah dilantik sebagai Pengetua yang kedua di sekolah ini, manakala Puan Jemira  Bte Ekong sebagai Penolong Kanan Hem menggantikan Encik
Sailin B. Sarabini yang dilantik sebagai Kaunselor Sekolah. En. Sahamin Rasimun masih kekal sebagai Penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Program Nilam diperkenalkan di sekolah ini pada tahun 2000. En. Hamiun Suani dilantik sebagai penyelaras Program Nilam.
Pada tahun 2002, Pn. Ennun Esit telah dilantik sebagai Penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Penggunaan Pusat Sumber Sekolah pada waktu itu masih agak terhad. Bekalan buku-buku juga masih sedikit. Beberapa orang pelajar yang dilantik menjadi Pengawas Pusat Sumber Sekolah telah melaksanakan aktiviti menceriakan dan menyusun perabot yang telah disediakan. Aktiviti memproses semula buku-buku telah dilaksanakan oleh guru-guru pusat sumber bersama-sama dengan pengawas pusat sumber. Tahun demi tahun Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II telah menerima bekalan buku-buku. Kefungsian Pusat Sumber Sekolah dapat dimanfaat oleh warga Sekolah.
Pada tahun 2005, Pusat Akses (PuAs) telah dibuka di sekolah ini. En. Rajali Hamdan telah dilantik sebagai Penyelaras Pusat Akses Sekolah. En Ahmad Hafiz Hashim dilantik sebagai Penyelaras Pusat Akses pada tahun 2009. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk mencapai matlamat Pusat Akses.
Pada tahun 2007, Pn. Ennun Esit telah dilantik sebagai Penyelaras Program Nilam. Sekolah ini mula menyertai pencalonan tokoh nilam pada tahun 2008. Mohd. Syahril Zulfadhli Bin Herman telah berjaya ke Peringkat Kebangsaan sebagai peserta Kem Penulis Muda pada tahun 2008. Setiap tahun sekolah ini berjaya mendapat Johan Peringkat Daerah dan Bahafian dalam pencalonan tokoh nilam. Setiap tahun Tokoh Nilam Sekolah ini berjaya mewakili Zon Pedalaman ke Peringkat Negeri. Pada  tahun  2011,
Mathilda  Binti  Bernard  telah  berjaya mendapat tempat ketiga Tokoh Nilam Kategori Luar Bandar Peringkat Negeri.
Pusat Sumber SMK Keningau II merangkumi bilik  perpustakaan, bilik Alat Pandang Dengar (APD), bilik Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan Bilik Pusat Akses. Pusat Sumber Sekolah SMK Keningau II dilengkapi dengan pelbagai bahan cetak, peralatan dan kemudahan ICT sebagai kemudahan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Pada tahun 2012, Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II telah diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi Majlis Perasmian dan Penutipan Kem Membaca 1Malaysia (KM1M) Peringkat Daerah Keningau dan telah dianugerahkan sebagai Pusat Sumber Cemerlang Daerah Keningau pada tahun 2013.
Pusat Sumber SMK Keningau II kini berupaya menjadi gedung ilmu pengetahuan bagi individu atau kumpulan yang mencari, memperkaya dan mempertinggi pengalaman dan pengajian. Selain menjadi agen perubahan dalam sesebuah sekolah ke arah perkembangan potensi dan minat individu serta kerjasama kumpulan, Pusat Sumber SMK Keningau II juga berupaya menjadi satu sistem yang dinamis dan praktikal dalam pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kerana Pusat Sumber Sekolah dapat memberikan peluang dalam perkhidmatan yang mencapai aktiviti- aktiviti seperti membaca, menyebut, menulis, menyelidik, berbengkel, mengulangkaji serta membuat rujukan secara terpimpin atau bersendirian.
Bersesuaian dengan motto sekolah BUDAYA ILMU TERAS KECERMELANGAN’ dan dengan izin Tuhan yang Maha Esa, PusatSumber Sekolah sekolah ini akan menjadi Pusat Sumber Contoh dan Penggerak Kecermelangan dalam sedikit masa lagi.

Takwim PSS@ SMK Keningau II

TAKWIM
PERPUSTAKAAN SMK KENINGAU 2
TAHUN 2015

TARIKH
AKTIVITI
TINDAKAN
CATATAN
JANUARI
Mengemas persekitaran Pusat Sumber
Minggu pengoperasian Pusat Sumber
Pengemaskinian Perpustakaan
AJK PSS
AJK PSS
Guru Subjek
Pengawas PSS
FEBRUARI
Pemilihan  Pengawas Perpustakaan Sesi 2014
[Edaran borang permohonan]
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PSS Kali 1/15
Peminjaman bahan bacaan oleh murid
Pemprosesan bahan
GPM & AJK PSS
AJK PSS
GPM & Pengawas PSS

MAC
Menjalankan Aktiviti Galakan Penggunaan
Menyemak Stok dan Mengemaskini Buku Perolehan / Fail/ Buku Inventori/ Rekod Pinjam Bahan dan Peralatan Perpustakaan
AJK Pusat Sumber
GPM  & AJK PSS

APRIL
Pemprosesan dan mendaftar bahan/ alatan baru.
Menjalankan Aktiviti Galakan Penggunaan  PSS
Majlis Pelantikan Pengawas PSS
Kem Kepimpinan
GPM & AJK PSS
GPM & Pengawas PSS
GPM & AJK PSS
Unit HEM
MEI
Pemprosesan bahan/alatan baru
GPM & AJK PSS
JUN
Menyemak Rekod  Penggunaan dan Peminjaman PSS
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PSS Kali 2/15
Menyemak Stok dan Mengemaskini Buku Perolehan / Fail/ Buku Inventori/ Rekod Pinjam Bahan dan Peralatan Pusat Sumber
Minggu Bahasa

Minggu PSS
GPM & AJK PSS
AJK PSS

AJK  Kerja

AJK PSS & Panitia Bahasa
GPM, AJK PSS & Pengawas PSS

JULAI
Gotong Royong Perdana PSS
Semua AJK Kerja & Pengawas PSS
OGOS
Pemprosesan bahan/alatan baru
Bulan Kemerdekaan
GPM , AJK PSS & Pengawas PSS
GPM, AJK PSS
SEPTEMBER
Menjalankan Aktiviti Galakan Penggunaan PSS
Menyemak Rekod Penggunaan dan Peminjaman
Semua AJK PSS
GPM & AJK PSS
OKTOBER
Menyemak Stok dan Mengemaskini Buku Perolehan / Fail/ Buku Inventori/ Rekod Pinjam Bahan dan Peralatan Pusat Sumber
GPM & AJK PSS


NOVEMBER
Mengemaskini rekod penggunaan dan peminjaman
Menyemak Stok dan mengemaskini Buku Perolehan/ Fail/ Buku Inventori/Rekod Pinjam Bahan dan Peralatan Pusat Sumber
Mengemaskini  Bilik Perpustakaan
Mengemaskini Inventori
Gotong Royong


GPM , AJK PSS,
Pengawas PSS
  • Setiap aktiviti yang dirancang adalah tertakluk kepada sebarang perubahan

Kepentingan@PSS SMK Keningau II

KEPENTINGAN
PUSAT SUMBER SEKOLAH

Pusat Sumber Sekolah merupakan tempat berlakunya segala aktiviti memperoleh sesuatu maklumat atau pengetahuan yang bertujuan untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme keguruan dan pencapaian akademik pelajar. Sehubungan itu, Pusat Sumber Sekolahmerupakan suatu unit bersepadu yang berfungsi mengumpul, memilih, menyusun dan menyebarkan alat atau bahan pengajaran dan pembelajaran ( bahan bantu mengajar ) sama ada dalam bentuk bercetak atau bukan bercetak dengan aktif dan bermakna bagi memenuhi kehendak pelanggannya sama ada pensyarah, guru dan murid.
Pusat Sumber Sekolah pada hari ini bukan lagi terhad kepada bahan-bahan bercetak seperti buku, surat khabar, majalah, makalah dan jurnal. Fungsi Pusat Sumber Sekolah pada masa ini kian meluas iaitu meliputi bahan bantu mengajar, bilik audio visual, pusat akses , bilik tayangan malah juga merangkumi makmal komputer. Fungsi Pusat Sumber Sekolah telah diperluas selaras dengan tuntutan semasa dan kemajuan teknologi terkini.
Di sekolah, pusat sumber memainkan peranan penting bagi mempertingkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran serta prestasi pencapaian akademik pelajar. Pusat Sumber Sekolah hendaklah berkhidmat sebagai tempat untuk memperoleh, menghasilkan, mengorganisasi dan mengedarkan bahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang diperlukan oleh pensyarah dan penuntut IPT atau guru dan murid-murid. Pusat Sumber Sekolah memberi perkhidmatan pinjaman bahan atau buku kepada pelanggannya. Ini dapat menjimatkan kos pembelian buku dan bahan rujukan oleh para pelajar, penuntut dan pendidik dalam usaha mereka menyempurnakan tugasan masing-masing.
Selain itu, Pusat Sumber Sekolah berperanan sebagai pusat penempatan bahan-bahan sumber dan dapat pula digunakan secara individu atau berkumpulan. Ini bermaksud bahan-bahan itu boleh dicari , diakses dan digunakan dengan cepat dan mudah. Para guru dan pelajar boleh mendapatkan sumber-sumber yang diperlukan sama ada yang ada kena-mengena dengan pelajaran atau pun tidak. Bahan-bahan rujukan seperti buku, pelbagai alat bantu mengajar seperti radio, alat pandang dengar, cakera padat, televisyen , televisyen satelit , capaian internet , pusat akses dan pelbagai bahan rekreasi sekolah seperti buku cerita, karya sastera, karya akademik dan ilmiah , majalah, surat khabar dan sebagainya.
Pusat Sumber Sekolah dapat bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan, iaitu bahan pelajaran dapat dipilih untuk penggunaan di dalam kelas atau di rumah. Selain itu, pusat sumber ini juga memberi panduan kepada guru dan murid-murid untuk mencari, memiliki, menghasilkan dan menggunakan bahan selaras dengan keperluan dan tujuan tugasan masing-masing. Pelbagai info terkini dapat diperoleh melalui Pusat Sumber Sekolah. Contohnya, seorang guru yang inginkan bahan dari pusat sumber untuk mengajar sesuatu kemahiran atau mata pelajaran tertentu akan mencari bahan-bahan rujukan atau alat-alat bantu mengajar yang tepat dan sesuai dengan mata pelajaran itu di sini.
Dengan adanya Pusat Sumber Sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran akan. berjalan dengan lebih sistematik dan berkesan. Penggunaan alatan dan bahan di pusat sumber dapat membantu seseorang guru menerangkan sesuatu hukum, konsep dan hujah dengan lebih berkesan. Ini dapat memperkaya pengalaman murid-murid dan juga guru. Kemudahan televisyen satelit seperti Astro membolehkan guru memanfaatkan rancangan menarik melalui saluran History, Discovery, Sains dan Tutor untuk membantu aktitviti guru dalam bilik darjah. Misalnya, kebanyakan murid-murid di negara ini tidak pernah melihat salji dan suasana di kutub, maka sebuah filem atau siaran rencana berkaitan salji dan persekitarannya di kutub akan menambahkan pengalaman murid-murid tersebut. Hal ini menggambarkan murid-murid itu sendiri yang mengalami persekitaran itu setelah mendapat gambaran yang jelas, penerangan yang baik dan spontan yang dapat dilihat oleh murid-murid. Ini akan meningkatkan tahap pemahaman pelajar berhubung topik atau perkara yang diajar.
Dengan menggunakan bahan sumber yang sesuai, pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan menjadi lebih dekat, lebih `detail dan spesialis’ (detail and specialise) serta menjadi lebih menarik dan bermakna. Sesuatu perkara yang berlaku atau terdapat di luar bilik darjah dapat disampaikan dengan menggunakan sumber yang ada. Hal ini menjadikan perkara di luar bilik darjah lebih hampir kepada murid-murid kerana perkara tersebut boleh dipindahkan ke dalam bentuk media dan dibawa masuk ke dalam bilik darjah. Contohnya, jika kita ingin memberitahu tentang jenis-jenis kenderaan kepada murid-murid yang belum pernah melihat kenderaan tersebut, terutamanya murid-murid di kawasan pedalaman, penggunaan sumber seperti poster, gambar dan video dapat membantu dan memudahkan kerja guru. Ini akan menggalakkan perubahan tingkah laku yang diingini. Pembelajaran yang berdasarkan penggunaan sumber ini sebenarnya boleh menyeronokkan murid-murid kerana persekitaran di dalam bilik darjah adalah stabil dan selesa, di samping adanya pelbagai media perangsang.
Secara keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa Pusat Sumber Sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Tanpa Pusat Sumber Sekolah, pengajaran mungkin tidak mencapai matlamatnya dengan menyeluruh dan berkesan. Oleh hal yang demikian, guru dan pelajar harus memanfaatkan penggunaan Pusat Sumber Sekolah demi kemajuan dan kejayaan dalam akademik dan pelajaran.

Fungsi&Peranan@SMK Keningau II

FUNGSI DAN PERANAN
PUSAT SUMBER SMK KENINGAU II

Pusat Sumber SMK Keningau II mempunyai fungsi dan peranan sebagai:
1. Tempat mengumpul atau berkhidmat sebagai agen berpusat untuk memperoleh, menghasil, mengorganisasi, menyebar dan menggunakan maklumat atau bahan-bahan pembelajaran yang diperlukan oleh guru dan pelajar.
2. Satu bank di mana bahan pembelajaran dapat dipilih untuk menggunaan dalam kelas atau di rumah.
3. Memberi panduan kepada guru dan pelajaruntuk mencari, memilik, menghasil, dan menggunakan bahan selaras dengan keperjuan dan tujuan masing-masing.
4. Menentukan bahawa alat-alat yang diperoleh itu adalah dalam keadaan yang baik dan dijaga, dipelihara serta diperbaiki dari masa ke semasa.
5. Menentukan bahawa bahan yang diperoleh atau dihasilkan adalah selaras dengan keperluan kokurikulum sekolah.
6. Sebagai satu sistem yang menyokong ke arah matlamat pendidikan negara. Ia perlu bergerak dengan pelbagai bahan dan aktiviti ke arah memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran.

Matlamat@PSS SMK Keningau II

MATLAMAT
PUSAT SUMBER SMK KENINGAU II
Matlamat Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II :
1. Meningkatkan mutu pengajaran, pembelajaran dan potensi individu serta sahsiah.
2. Memastikan pengguna mendapat tempat dan ruang yang selesa serta mencukupi.
3. Memastikan pengguna mendapat kemudahan bahan bantu yang terkini dan segera.
4. Menyediakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan bahan bacaan yang mencukupi untuk kegunaan pengguna.
5. Menyediakan maklumat yang relevan dan terkini kepada warga sekolah.
6. Memberi khidmat, layanan mesra, bersopan dan sentiasa peka kepada masalah pengguna.

Objektif@PSS SMK Keningau II

OBJEKTIF
PUSAT SUMBER SMK KENINGAU II
1. Menggalakkan pelajar-pelajar, guru-guru serta kakitangan menggunakan pelbagai kemudahan pembelajaran supaya mereka mempunyai keilmuan yang tinggi hasil dari kajian dan pembacaan yang tidak ditumpukankepada buku teks semata-mata.
2. Memupuk tabiat belajar sendiri, membaca dan menyelidik melalui pencarian dan penggunaan maklumat secara sistematik.
3. Membantu pelajar dan guru menghasil, menilai dan menggunakan pelbagai alatan dan bahan pengajaran pembelajaran.
4. Melatih pelajar-pelajar supaya dapat menggunakan kemahiran maklumat dalam proses pembelajaran mereka

Piagam Pelanggan@SMK Keningau II

PIAGAM PELANGGAN PUSAT SUMBER
SMK KENINGAU II
Kami berjanji dengan penuh iltizam akan berganding bahu mempertingkatkan prestasi kurikulum sekolah dengan:
1. Berusaha sedaya upaya menjalankan semua aktiviti yang dirancang dan memberi  perkhidmatan yang terbaik mengikut jadual yang ditetapkan.
2. Memberi perkhidmatan yang sempurna dan layanan mesra kepada setiap masa.
3. Memberi maklumat-maklumat kepada pihak-pihak yang memerlukan dalam masa satu minggu selepas tarikh yang diterima atau sebelum tarikh yang ditetapkan.
4. Memberi perhatian dan tindakan segera terhadap bahan bantu mengajar yang diperlukan atau rosak.
5. Bersedia memberi khidmat nasihat, tunjuk ajar, dan galakan kepada pengguna apabila diperlukan.

6. Sentiasa menerima cadangan dan pandangan yang positif serta mengaturkan perbincangan untuk mempertingkat prestasi perkhidmatan dan kecemerlangan pendidikan di sekolah.

Misi PSS@SMK Keningau II

MISI
PUSAT SUMBER SMK KENINGAU II

Menjana dan membentuk warga Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II yang berilmu, dinamis, kreatif, inovatif, berinformasi, bestari dan berdisiplin dengan merealisasikan Pusat Sumber Sekolah sebagai pusat gedung ilmu seiring dengan matlamat wawasan dan Falsafah Pendidikan Negara.

Visi PSS@SMK Keningau II

VISI
PUSAT SUMBER SMK KENINGAU II

Memastikan Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II dapat membudayakan keilmuan dan mewujudkan warga sekolah yang berilmu dengan sahsiah yang seimbang, berfikiran kreatif dan inovatif melalui sikap suka membaca dan meneroka sumber informasi.

Peraturan PSS@SMK keningau II

PERATURAN PSS SMK KENINGAU II


PERATURAN DI PERPUSTAKAAN
WAKTU PERPUSTAKAAN DIBUKA
  • PSS termasuk Perpustakaan, Makmal ICT, Pusat Akses, Bilik SAL, Bilik BBM dan Bilik Tayangan dibuka dari  7.40 Pagi hingga 2.00 petang  hari Persekolahan untuk penggunaan kelas.
  • Perpustakaan dan Pusat Akses dibuka pada waktu rehat untuk peminjaman dan pemulangan bahan, membuat rujukan dan bacaan ringan.
  • Pusat Akses akan dibuka dari 2.00 petang hingga 3.00 petang untuk tujuan peminjaman dan pemulangan bahan, rujukan dan bacaan ringan.
  • Perpustakaan dibuka pada setiap hari Sabtu  dari 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari untuk peminjaman dan pemulangan bahan, rujukan dan bacaan ringan.
  • Perpustakaan dibuka pada hari cuti persekolahan Isnin hingga Sabtu mengikut permintaan dan kesediaan petugas dari 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
KEAHLIAN
  • Semua murid, guru dan staf bukan guru SMK KENINGAU II adalah ahli Pusat Sumber Sekolah.
  • Semua ahli dikenakan yuran keahlian sebanyak RM 0.50.
  • Setiap ahli akan dibekalkan dengan Kad Ahli dan diberi nombor ahli.
  • Sebarang peminjaman buku tidak dibenarkan tanpa kad ahli.
  • Setiap peminjaman mesti menggunakan kad ahli sendiri dan tidak boleh berpindah milik.
  • Kad ahli yang rosak atau hilang boleh diganti dengan kad ahli yang baru dengan kos RM 1.00.
  • Perubahan peraturan keahlian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan semasa.
PEMINJAMAN BAHAN
  • Setiap ahli hanya dibenarkan meminjam dua buah buku sahaja dalam satu masa untuk tempoh lima persekolahan.
  • Ahli tidak dibenar meminjam buku bagi pihak murid lain.
  • Semua peminjam bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keselamatan buku yang dipinjam daripada hilang, koyak, diconteng, dsb.
  • Sekiranya buku yang dipinjam didapati terkoyak, rosak atau kotor dengan tidak sengaja, jangan cuba membaikinya sendiri. Sebaliknya kembalikan buku berkenaan dengan bilangan helaian yang cukup dan maklumkan kepada Penyelaras PSS / Guru PSS I / Pengawas PSS.
  • Buku rujukan, majalah, jurnal, risalah, dll. tidak boleh dipinjam keluar daripada perpustakaan.
  • Ahli hanya dibenarkan meminjam buku berbintik merah (red spot book) untuk tempoh satu jam dan hanya boleh dirujuk di dalam bilik perpustakaan sahaja (tidak boleh dibawa keluar).
  • Peminjaman buku berbintik merah hendaklah direkod dalam 'Buku Rekod Pinjaman Terhad'.
  • Peminjam boleh memperbaharui tarikh pinjaman yang tamat tempoh  sekiranya buku tersebut tiada tempahan daripada ahli yang lain.
  • Semua bahan boleh dibawa keluar dari bilik perpustakaan hanya setelah mendapat kebenaran daripada Penyelaras PSS / Guru PSS I / Pengawas PSS dan merekodkannya dalam buku rekod khas.
PEMULANGAN BAHAN
  • Buku yang dipinjam hendaklah  dipulangkan sebelum atau selewat-lewatnya pada tarikh yang ditetapkan (rujuk pada tarikh di slip tarikh pulang buku).
  • Peminjam yang lewat memulangkan buku pada tarikh yang ditetapkan akan dimaklumkan melalui pelbagai media, misalnya, diperhimpunan mingguan sekolah, radio sekolah, dsb.
  • Buku yang lewat dipulangkan oleh peminjam akan dikenakan kompaun sebanyak 10 sen satu hari tetapi tidak melebihi harga buku tersebut.
  • Peminjam adalah bertanggungjawab ke atas setiap buku yang dipinjam. Sekiranya  buku  tersebut didapati hilang semasa dalam tempoh peminjaman, peminjam berkenaan dikehendaki menggantikan buku lain yang berjudul sama atau membayar ganti rugi sejumlah harga buku tersebut.
  • Peraturan-peraturan  lain yang berkaitan dengan pemulangan buku akan dimaklumkan oleh Penyelaras PSS / Pengawas PSS dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
CARA MEMINJAM BUKU
  • Kenal pasti judul  atau perkara buku yang hendak dipinjam.
  • Kesan maklumat tersebut melalui kad katalog dalam kabinet katalog.
  • Dengan maklumat yang diperoleh, sila kesan buku berkenaan di rak buku berkaitan.
  • Ambil buku tersebut di rak dan keluarkan kad buku dari kocek buku.
  • Tulis nama dan tingkatan anda belajar pada kad buku tersebut.
  • Serahkan bukukad buku dan kad keahlian kepada Pengawas PSS di Kaunter Edaran (Bahagian Peminjaman) untuk diproses.
  • Terima buku yang siap diproses dan serahkan kepada Pengawas PSS di pintu keluar untuk disemak.
  • Anda dibenarkan membawa keluar buku berkenaan.
PENGGUNAAN PERPUSTAKAAN SEMASA WAKTU BELAJAR
  • Guru dilarang daripada membawa murid kelasnya ke perpustakaan pada waktu rehat persekolahan.
  • Guru hendaklah sentiasa bersama muridnya semasa berada di perpustakaan.
  • Hanya satu kelas sahaja dibenarkan berada di perpustakaan pada satu masa.
  • Satu waktu mata pelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diperuntukkan bagi setiap kelas untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran di perpustakaan.
  • Pengajaran secara terancang hendaklah dilaksanakan semasa berada di perpustakaan.
  • Guru-Guru mata pelajaran lain boleh membuat tempahan slot waktu yang diperlukan untuk aktiviti P & P di perpustakaan.
PERATURAN-PERATURAN AM
  • Pengguna digalakkan memakai pakaian yang sesuai ketika berada di perpustakaan. Pakaian jeans, seluar pendek, skirt, pakaian seksi, selipar, dan pakaian-pakaian lain yang sejenis dengannya tidak dibenarkan sama sekali.
  • Pengguna hanya dibenarkan membawa masuk alat tulis dan buku tulis sahaja ke dalam perpustakaan. Manakala beg, fail peribadi, dan bahan-bahan yang mencurigakan hendaklah diletak di atas para/rak di luar bilik perpustakaan.
  • Bahan-bahan di perpustakaan tidak dibenarkan dibawa keluar dari perpustakaan sebelum ia direkod oleh Penyelaras PSS / Guru PSS I / Pengawas PSS.
  • Membawa keluar bahan-bahan perpustakaan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan. Murid yang terlibat akan dihukum.
  • Pengguna dilarang daripada makan dan minum di dalam perpustakaan.
  • Berbincang, berbual, berkelakuan sumbang, dan  aktiviti-aktiviti lain yang boleh mengganggu ketenteraman dan keharmonian pengguna lain adalah dilarang.
  • Pengguna dikehendaki menjaga kebersihan dan keselamatan bahan-bahan di perpustakaan.
  • Pengguna hendaklah meletak kembali buku yang telah dibaca/dirujuk ke rak asal buku tersebut. Sekiranya tidak pasti tempatnya, sila letakkan di troley yang di sediakan atau minta nasihat daripada Pengawas PSS yang bertugas.
  • Pengguna hendaklah menghormati dan mematuhi arahan daripada Pengawas PSS yang sedang bertugas.
  • Pengguna dilarang daripada berbuat bising atau mesti dalam keadaansenyap.
  • Pengguna diminta menarik kerusi dengan perlahan untuk mengelak daripada mengganggu pengguna lain.
  • Pengguna diminta merapatkan kembali kerusi yang digunakan ke meja sebelum beredar.
  • Pengguna hendaklah memastikan tangan dalam keadaan bersih semasa berada di dalam perpustakaan supaya bahan-bahan tersebut selamat daripada kekotoran.
  • Tarik buku atau bahan-bahan lain daripada rak dengan perlahan untuk mengelak bahan-bahan tersebut daripada rosak, koyak, dll.
  • Semasa keluar dari perpustakaan, pengguna dikehendaki mempamerkan bahan-bahan yang dibawa keluar untuk pemeriksaan oleh Pengawas PSS.
KETENTERAMAN SEMASA DI PERPUSTAKAAN
  • Pengguna hendaklah menentukan kerusi yang digunakan dirapatkan  semula ke meja dalam keadaan senyap sebelum meninggalkan perpustakaan.
  • Murid dikehendaki beratur ketika hendak masuk, keluar atau ketika ingin meminjam dan memulang buku.
  • Semua murid dikehendaki keluar segara daripada perpustakaan dalam keadaan beratur dan senyap aopabila loceng penamat dibunyikan.
  • Murid tidak dibenarkan berdiri, berbuat bising atau melakukan sesuatu perbuatan yang boleh mengganggu pengguna di luar perpustakaan sepanjang tempoh perpustakaan dibuka.
LAIN-LAIN
  • Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua pengguna pada setiap masa dan keadaan.
  • Semua peraturan yang digubal ini adalah tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keadaan.
Guru Perpustakan dan Media