Wednesday 22 April 2015

Kepentingan@PSS SMK Keningau II

KEPENTINGAN
PUSAT SUMBER SEKOLAH

Pusat Sumber Sekolah merupakan tempat berlakunya segala aktiviti memperoleh sesuatu maklumat atau pengetahuan yang bertujuan untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme keguruan dan pencapaian akademik pelajar. Sehubungan itu, Pusat Sumber Sekolahmerupakan suatu unit bersepadu yang berfungsi mengumpul, memilih, menyusun dan menyebarkan alat atau bahan pengajaran dan pembelajaran ( bahan bantu mengajar ) sama ada dalam bentuk bercetak atau bukan bercetak dengan aktif dan bermakna bagi memenuhi kehendak pelanggannya sama ada pensyarah, guru dan murid.
Pusat Sumber Sekolah pada hari ini bukan lagi terhad kepada bahan-bahan bercetak seperti buku, surat khabar, majalah, makalah dan jurnal. Fungsi Pusat Sumber Sekolah pada masa ini kian meluas iaitu meliputi bahan bantu mengajar, bilik audio visual, pusat akses , bilik tayangan malah juga merangkumi makmal komputer. Fungsi Pusat Sumber Sekolah telah diperluas selaras dengan tuntutan semasa dan kemajuan teknologi terkini.
Di sekolah, pusat sumber memainkan peranan penting bagi mempertingkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran serta prestasi pencapaian akademik pelajar. Pusat Sumber Sekolah hendaklah berkhidmat sebagai tempat untuk memperoleh, menghasilkan, mengorganisasi dan mengedarkan bahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang diperlukan oleh pensyarah dan penuntut IPT atau guru dan murid-murid. Pusat Sumber Sekolah memberi perkhidmatan pinjaman bahan atau buku kepada pelanggannya. Ini dapat menjimatkan kos pembelian buku dan bahan rujukan oleh para pelajar, penuntut dan pendidik dalam usaha mereka menyempurnakan tugasan masing-masing.
Selain itu, Pusat Sumber Sekolah berperanan sebagai pusat penempatan bahan-bahan sumber dan dapat pula digunakan secara individu atau berkumpulan. Ini bermaksud bahan-bahan itu boleh dicari , diakses dan digunakan dengan cepat dan mudah. Para guru dan pelajar boleh mendapatkan sumber-sumber yang diperlukan sama ada yang ada kena-mengena dengan pelajaran atau pun tidak. Bahan-bahan rujukan seperti buku, pelbagai alat bantu mengajar seperti radio, alat pandang dengar, cakera padat, televisyen , televisyen satelit , capaian internet , pusat akses dan pelbagai bahan rekreasi sekolah seperti buku cerita, karya sastera, karya akademik dan ilmiah , majalah, surat khabar dan sebagainya.
Pusat Sumber Sekolah dapat bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan, iaitu bahan pelajaran dapat dipilih untuk penggunaan di dalam kelas atau di rumah. Selain itu, pusat sumber ini juga memberi panduan kepada guru dan murid-murid untuk mencari, memiliki, menghasilkan dan menggunakan bahan selaras dengan keperluan dan tujuan tugasan masing-masing. Pelbagai info terkini dapat diperoleh melalui Pusat Sumber Sekolah. Contohnya, seorang guru yang inginkan bahan dari pusat sumber untuk mengajar sesuatu kemahiran atau mata pelajaran tertentu akan mencari bahan-bahan rujukan atau alat-alat bantu mengajar yang tepat dan sesuai dengan mata pelajaran itu di sini.
Dengan adanya Pusat Sumber Sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran akan. berjalan dengan lebih sistematik dan berkesan. Penggunaan alatan dan bahan di pusat sumber dapat membantu seseorang guru menerangkan sesuatu hukum, konsep dan hujah dengan lebih berkesan. Ini dapat memperkaya pengalaman murid-murid dan juga guru. Kemudahan televisyen satelit seperti Astro membolehkan guru memanfaatkan rancangan menarik melalui saluran History, Discovery, Sains dan Tutor untuk membantu aktitviti guru dalam bilik darjah. Misalnya, kebanyakan murid-murid di negara ini tidak pernah melihat salji dan suasana di kutub, maka sebuah filem atau siaran rencana berkaitan salji dan persekitarannya di kutub akan menambahkan pengalaman murid-murid tersebut. Hal ini menggambarkan murid-murid itu sendiri yang mengalami persekitaran itu setelah mendapat gambaran yang jelas, penerangan yang baik dan spontan yang dapat dilihat oleh murid-murid. Ini akan meningkatkan tahap pemahaman pelajar berhubung topik atau perkara yang diajar.
Dengan menggunakan bahan sumber yang sesuai, pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan menjadi lebih dekat, lebih `detail dan spesialis’ (detail and specialise) serta menjadi lebih menarik dan bermakna. Sesuatu perkara yang berlaku atau terdapat di luar bilik darjah dapat disampaikan dengan menggunakan sumber yang ada. Hal ini menjadikan perkara di luar bilik darjah lebih hampir kepada murid-murid kerana perkara tersebut boleh dipindahkan ke dalam bentuk media dan dibawa masuk ke dalam bilik darjah. Contohnya, jika kita ingin memberitahu tentang jenis-jenis kenderaan kepada murid-murid yang belum pernah melihat kenderaan tersebut, terutamanya murid-murid di kawasan pedalaman, penggunaan sumber seperti poster, gambar dan video dapat membantu dan memudahkan kerja guru. Ini akan menggalakkan perubahan tingkah laku yang diingini. Pembelajaran yang berdasarkan penggunaan sumber ini sebenarnya boleh menyeronokkan murid-murid kerana persekitaran di dalam bilik darjah adalah stabil dan selesa, di samping adanya pelbagai media perangsang.
Secara keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa Pusat Sumber Sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Tanpa Pusat Sumber Sekolah, pengajaran mungkin tidak mencapai matlamatnya dengan menyeluruh dan berkesan. Oleh hal yang demikian, guru dan pelajar harus memanfaatkan penggunaan Pusat Sumber Sekolah demi kemajuan dan kejayaan dalam akademik dan pelajaran.

No comments:

Post a Comment