Wednesday 22 April 2015

Sejarah PSS@SMK Keningau II

SEJARAH PENUBUHAN PUSAT SUMBER
SMK KENINGAU II

Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II, mula beroperasi pada 6hb Januari 1997. Sekolah yang dibina di atas tapak seluas 25 ekar ini terletak berhampiran Kampung Luagan di dalam mukim Keningau. Pengambilan pertama adalah untuk Tingkatan Satu (12 buah kelas) dan Tingkatan 4 (3 buah kelas) dengan bilangan pelajar keseluruhannya lebih kurang 550 orang. Pelajar pengasas sekolah ini terdiri daripada para pelajar sekolah menengah di sekitar Daerah Keningau. Mereka ditempatkan di sekolah ini kerana sekolah asal tidak dapat menampung mereka ekoran pertambahan pelajar yang di luar jangkaan.
Encik Sahumin Hj. Daud adalah Pengetua yang pertama di sekolah ini. Beliau dibantu oleh Puan Jaharah Jaafar sebagai Penolong Kanan dan Encik Sailin Sarabini sebagai Penolong Kanan HEM. Mereka dibantu oleh dua orang staf sokongan dan 12 orang guru. Dengan jumlah staf seramai 15 orang, segalanya cuba dilakukan sesempurna mungkin. En. Sahamin Rasimun dilantik sebagai penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Penggunaan Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II agak terhad pada waktu itu.
Pada 16hb Mac 1998, Encik Joanes B. Onson telah dilantik sebagai Pengetua yang kedua di sekolah ini, manakala Puan Jemira  Bte Ekong sebagai Penolong Kanan Hem menggantikan Encik
Sailin B. Sarabini yang dilantik sebagai Kaunselor Sekolah. En. Sahamin Rasimun masih kekal sebagai Penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Program Nilam diperkenalkan di sekolah ini pada tahun 2000. En. Hamiun Suani dilantik sebagai penyelaras Program Nilam.
Pada tahun 2002, Pn. Ennun Esit telah dilantik sebagai Penyelaras Pusat Sumber Sekolah. Penggunaan Pusat Sumber Sekolah pada waktu itu masih agak terhad. Bekalan buku-buku juga masih sedikit. Beberapa orang pelajar yang dilantik menjadi Pengawas Pusat Sumber Sekolah telah melaksanakan aktiviti menceriakan dan menyusun perabot yang telah disediakan. Aktiviti memproses semula buku-buku telah dilaksanakan oleh guru-guru pusat sumber bersama-sama dengan pengawas pusat sumber. Tahun demi tahun Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II telah menerima bekalan buku-buku. Kefungsian Pusat Sumber Sekolah dapat dimanfaat oleh warga Sekolah.
Pada tahun 2005, Pusat Akses (PuAs) telah dibuka di sekolah ini. En. Rajali Hamdan telah dilantik sebagai Penyelaras Pusat Akses Sekolah. En Ahmad Hafiz Hashim dilantik sebagai Penyelaras Pusat Akses pada tahun 2009. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk mencapai matlamat Pusat Akses.
Pada tahun 2007, Pn. Ennun Esit telah dilantik sebagai Penyelaras Program Nilam. Sekolah ini mula menyertai pencalonan tokoh nilam pada tahun 2008. Mohd. Syahril Zulfadhli Bin Herman telah berjaya ke Peringkat Kebangsaan sebagai peserta Kem Penulis Muda pada tahun 2008. Setiap tahun sekolah ini berjaya mendapat Johan Peringkat Daerah dan Bahafian dalam pencalonan tokoh nilam. Setiap tahun Tokoh Nilam Sekolah ini berjaya mewakili Zon Pedalaman ke Peringkat Negeri. Pada  tahun  2011,
Mathilda  Binti  Bernard  telah  berjaya mendapat tempat ketiga Tokoh Nilam Kategori Luar Bandar Peringkat Negeri.
Pusat Sumber SMK Keningau II merangkumi bilik  perpustakaan, bilik Alat Pandang Dengar (APD), bilik Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan Bilik Pusat Akses. Pusat Sumber Sekolah SMK Keningau II dilengkapi dengan pelbagai bahan cetak, peralatan dan kemudahan ICT sebagai kemudahan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Pada tahun 2012, Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau II telah diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi Majlis Perasmian dan Penutipan Kem Membaca 1Malaysia (KM1M) Peringkat Daerah Keningau dan telah dianugerahkan sebagai Pusat Sumber Cemerlang Daerah Keningau pada tahun 2013.
Pusat Sumber SMK Keningau II kini berupaya menjadi gedung ilmu pengetahuan bagi individu atau kumpulan yang mencari, memperkaya dan mempertinggi pengalaman dan pengajian. Selain menjadi agen perubahan dalam sesebuah sekolah ke arah perkembangan potensi dan minat individu serta kerjasama kumpulan, Pusat Sumber SMK Keningau II juga berupaya menjadi satu sistem yang dinamis dan praktikal dalam pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kerana Pusat Sumber Sekolah dapat memberikan peluang dalam perkhidmatan yang mencapai aktiviti- aktiviti seperti membaca, menyebut, menulis, menyelidik, berbengkel, mengulangkaji serta membuat rujukan secara terpimpin atau bersendirian.
Bersesuaian dengan motto sekolah BUDAYA ILMU TERAS KECERMELANGAN’ dan dengan izin Tuhan yang Maha Esa, PusatSumber Sekolah sekolah ini akan menjadi Pusat Sumber Contoh dan Penggerak Kecermelangan dalam sedikit masa lagi.

No comments:

Post a Comment